Pantun Berkait (Bekerja) Noormelissa Binti Noorzaidy Nur Anisha Binti Roslan Nur Batrishiya Binti Helwany Had Muhammad Haikal Afnan Bin Zulkiflee Muhammad Saiful Adni Bin Mohd Nasir
Bajak, cangkul, tebas dan tebang. Perahu layar mudik ke pangkalan, Sampai di pangkalan, memunggah barang; Wahai rakan, handai dan taulan, Bangkit segera kita berjuang. Sampai di pangkalan memunggah barang, Barang habis dibawa ke rumah; Bangkit segera kita berjuang, Hapuskan semangat culas dan lemah. Barang habis dibawa ke rumah, Tiada satu tinggal di perahu; Hapuskan semangat culas dan lemah, Semua kerja mestilah tahu. Tiada satu tinggal di perahu, Tidaklah bimbang barangkan hilang; Semua kerja mestilah tahu, Bajak, cangkul, tebas dan tebang. Tidaklah bimbang barangkan hilang, Semuanya ada dalam selamat; Bajak, cangkul, tebas dan tebang, Semuanya dikerja dengan cermat. Semuanya ada dalam selamat, Boleh disimpan turun-temurun; Dapat dikerjakan dengan cermat, Kerja yang berat tidaklah gerun. Boleh disimpan turun-temurun, Itulah tanda barang yang berharga; Kerja yang berat tidaklah gerun, Semuanya siap hati pun lega. Itulah tanda barang yang berharga, Payah dicari susah mendapat; Semuanya siap hati pun lega, Tiadalah tinggal terbuang penat.
Maksud setiap rangkap Rangkap 1 : penulis menyeru sahabatnya agar segera melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Rangkap 2 : kita diarahkan supaya mengikis sifat malas. Rangkap 3 : semua pekerjaan dapat dilakukan apabila tiada sikap malas. Rangkap 4 : kita perlu menguasai bidang tugas masing-masing. Rangkap 5 : setiap pekerjaan dilakukan dengan teliti. Rangkap 6 : sikap berhati-hati dalam pekerjaan membolehkan seseorang dapat menghadapi kerja-kerja yang sukar. Rangkap 7 : kegembiraan dan kepuasan akan tergambar setelah kerja-kerja berat dapat disiapkan. Rangkap 8 : penat lelah selama ini tidak terasa apabila pekerjaan berhasil.
Tema Tema pantun ini ialah semangat dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Persoalan Penulis menyeru sahabatnya agar segera melaksanakan tugas. Kepentingan membuang sikap malas dan lemah semangat. Kemampuan melaksanakan pelbagai tugasan kerja. Ketelitian dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kepuasan kerana berjaya menyelesaikan kerja-kerja yang berat. Kegigihan berusaha dapat membuahkan hasil.
Bentuk Bentuknya terikat Terdiri daripada 8 rangkap Berisi 4 baris serangkap Ada pembayang dan maksudnya Bilangan katanya 3 hingga 5 patah kata sebaris Terdiri daripada 10 hingga 11 suku kata sebaris Setiap rangkap pantun mempunyai baris yang berkait Rima akhir abab
Gaya Bahasa Repetisi ( perulangan kata, ungkapan, baris atau rangkap) Contohnya : Sampai di pangkalan memunggah barang (Rangkap 1 baris 2 dan Rangkap 2 baris 1) Inversi (ayat songsang) Contohnya : Semuanya siap hati pun lega.
Unsur Bunyi Asonansi ( perulangan vokal a) Contohnya : Bajak, cangkul, tebas dan tebang, semuanya ada dalam selamat. (Perulangan vokal e). Contohnya : Semua kerja mestilah tahu, Kerja yang berat tidaklah gerun. (Perulangan vokal i). Contohnya : Tiada satu tinggal di perahu, Tidaklah bimbang barangkan hilang. Aliterasi ( perulangan konsonan d) Contohnya : Dapat dikerjakan dengan cermat. (Perulangan konsonan t). Contohnya: Tiadalah tinggal terbuang penat.
Nilai Kegigihan. Contohnya : Setiap pekerjaan yang dilakukan dengan gigih akan membuahkan hasil yang menguntungkan. Kerajinan. Contohnya : Sikap malas perlu dibuang dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Berhati-hati. Contohnya : Jika kita berhati-hati, maka kerja yang sukar dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Kesyukuran. Contohnya : Hati akan berasa lega dan tenang sekiranya kerja dapat dilunaskan dengan sebaik-baiknya.
Pengajaran Kita perlulah memiliki semangat juang yang tinggi. Kita perlulah membuang sikap malas dan lemah semangat. Kita perlulah memiliki pelbagai kemahiran dalam pekerjaan. Kita perlulah berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kita perlulah bekerja bersungguh- sungguh kerana penat lelah akhirnya akan terbalas juga.