Surah Ad-Dhuha Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani Demi waktu Duha. Dan malam apabila ia sunyi-sepi. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati).
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Intisari Surah Ad-Dhuha Terputusnya wahyu selama beberapa waktu bukanlah tanda bahawa Allah s.w.t. memarahi Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang didakwa oleh orang-orang kafir. Allah s.w.t. tidak sekali-kali meniggalkan hambaNya. Kita dilarang menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang meminta-minta. Kita harus mensyukuri atas segala nikmat yang Allah s.w.t. telah berikan.
Sebab Turunnya Surah Ad-Dhuha Ayat 1-3: Diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dan lain-lain bahawa Rasulullah s.a.w. merasa kurang enak badan sehingga beliau tidak solat malam selama satu atau dua malam. Seorang wanita datang kepada beliau seraya berkata, “Hai Muhammad, aku melihat setanmu (yang ia maksud adalah malaikat Jibril) telah meninggalkan engkau.” Maka Allah menurunkan ayat ini (1-3) yang menegaskan bahwa Allah s.w.t. tidak membiarkan Muhammad dan tidak membencinya. Ayat 5: Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa ayat kelima diturunkan berkenaan dengan kebahagiaan Rasulullah s.a.w. tatkala beliau diperlihatkan oleh Allah s.w.t. negeri-negeri yang akan ditaklukkan umatnya, satu demi satu. (Hadis riwayat, Hakim, Baihaqi dan Thabrani)