Surah Al-Qadr Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Intisari Surah Al- Qadr Al-Quran mula-mula diturunkan pada malam Al-Qadr (Lailatulqadr) iaitu malam bahagia, di bulan Ramadhan. Surah ini dinamakan "al-Qadr" kerana membicarakan kemuliaan dan kebesaran malam Lailatulqadar. Banyaknya malaikat turun (seperti yang disebut di dalam surah) menandakan banyaknya keberkatan dan rahmat turun pada malam al qadr. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang mendirikan malam al- Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan dari Allah, diampunkan baginya dosanya yang telah lampau.”
Sebab Turunnya Surah Al-Qadr Ayat 1-3: Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Mujahid bahwa di kalangan Bani Israil terdapat seorang lelaki yang suka beribadah pada malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah s.w.t. menurunkan ayat ini (Al-Qadr: 1-3) yang menegaskan bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada amal seribu bulan yang dilakukan lelaki dari Bani Israil tersebut.