Surah Az-Zalzalah Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat- dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing- masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Intisari Surah Az-Zalzalah Memberi gambaran betapa hebat dan dasyatnya hari kiamat yang akan tiba. Allah s.w.t. telah memerintah bumi supaya goncang dan memuntahkan segala isi yang tersimpan dalam perutnya supaya segala-galanya hancur- lebur dan menjadi porak-peranda. Manusia berasa bingung dengan keadaan yang berlaku pada hari tersebut (iaitu kehancuran bumi). Selepas berlakunya peristiwa tersebut, manusia akan dibangkitkan untuk dihitung amalan mereka (hari kiamat).
Orang yang melakukan kebaikan walaupun perbuatan tersebut sekecil atom, akan diperlihatkan dan akan menerima ganjarannya. Orang yang melakukan kejahatan walaupun perbuatan tersebut sekecil atom, akan diperlihatkan dan akan menerima balasannya.
Sebab Turunnya Surah Az-Zalzalah Ayat 7-8: Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Sa’id bin Jubair bahawa ketika turunnya ayat lapan dari surah al-Insan “dan mereka memberi makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang yang ditawan”, kaum Muslimin beranggapan bahawa orang yang bersedekah sedikit tidak akan mendapat pahala; orang yang membuat dosa kecil, seperti berbohong, mengumpat, mencuri penglihatan, dan sebagainya tidak akan diseksa; serta menganggap bahawa ancaman neraka dari Allah hanya disediakan bagi orang-orang yang berbuat dosa besar. Oleh demikian, maka turunlah ayat tujuh dan lapan dari surah az-Zalzalah sebagai bantahan terhadap anggapan mereka itu.